Lima pemandu mabuk ditahan

Penampang: Lima pemandu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk menerusi operasi sekatan jalan raya, di Jalan Bundusan, di sini, semalam.

Operasi Op Mabuk berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang diketuai Inspektor Jupri Usman.

Anggota polis yang menjalankan operasi sekatan jalan raya di Jalan Bundusan, Penampang. Pix Ihsan IPD Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua suspek ditahan selepas dikesan memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Katanya, dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan 12 keping saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas lain.

Anggota polis yang menjalankan operasi sekatan jalan raya di Jalan Bundusan, Penampang. Pix Ihsan IPD Penampang

“Operasi ini diadakan sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini.

“Antara objektif lain dalam operasi ini adalah untuk memfokus penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan usaha meminimumkan kadar berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

Mohd Haris berkata, Polis Penampang akan sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah dan kawalan orang ramai.

Katanya, orang ramai yang mengunjungi KDCA juga dinasihat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan.

“Ia termasuk menjaga keselamatan diri, keluarga, harta benda serta orang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|