Kadar jenayah di Sabah terkawal

Kota Kinabalu: Keputusan negara melonggarkan sekatan perjalanan sejak April lalu, menyebabkan peningkatan sebanyak 50 peratus kes jenayah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, jumlah itu bagaimanapun masih berada pada tahap yang rendah berbanding catatan kes tempoh sama sebelum penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Pemeriksaan baris oleh Datuk Idris Abdullah.

Katanya, jumlah kes berkenaan masih berada dibawah kawalan dan sebaliknya menurun berbanding tempoh sama tahun sebelum adanya Covid-19.

“Kadar kes masih dalam kawalan. Polis negeri ini akan sentiasa melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk pencegahan kes jenayah.

Sekitar perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu takut dan risau kerana semua kawasan di seluruh Sabah dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri acara Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu, di sini, hari ini.


Datuk Idris Abdullah ketika hadir acara Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

Idris berkata, pihaknya juga akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan kes jenayah terus berada pada paras terkawal.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung majlis berkenaan, Idris berkata perbarisan tamat latihan hari ini dihadiri oleh seramai 299 orang pelatih lelaki dari pelbagai daerah di seluruh Sabah.

Katanya, semua yang mengikuti latihan ini berlatarbelakangkan pelbagai kelulusan akademik termasuklah Ijazah Sarjana Muda.

“Seramai 14 pelatih memiliki Ijazah, 45 pelatih memiliki Diploma, 67 pelatih memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan selebihnya berkelulusan SPM.

“Ini membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah pilihan kerjaya yang terakhir bagi anak-anak muda,”katanya.

Idris berkata, mereka mula menjalani latihan asas konstabel di Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu, bermula pada 28 November 2021 dan tamat pada hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|