Penampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersiap sedia memastikan aspek keselamatan sepanjang tempoh sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, berjalan lancar.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya sudah menyusun atur gerak kerja dan penugasan bagi memastikan semua aspek membabitkan keselamatan terkawal.
Katanya, pihak turut memohon bantuan daripada pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah untuk pelaksanaan kawalan keselamatan di KDCA.
“IPD Penampang sudah bersedia sepenuhnya berdasarkan pengalaman penugasan pada 2018 dan 2019 yang akan diaplikasi sepanjang tempoh sambutan Kaamatan tahun ini.
“Untuk tujuan itu, IPD Penampang turut memohon bantuan daripada beberapa jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengembleng tenaga dalam memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di IPD Penampang di sini, semalam.
Mohd Haris berkata, penugasan keselamatan itu sudah dimulakan sejak 20 Mei lalu selaras dengan pengoperasian rumah tradisi serta gerai jualan di KDCA.
Katanya, keadaan akan bertambah sesak dengan jangkaan ribuan pengunjung keluar dan masuk hampir setiap malam.
“Kita jangkakan jumlah ini akan bertambah dengan kehadiran pengunjung luar dari daerah pada 30 dan 31 Mei depan iaitu kemuncak pesta Kaamatan.
“Peningkatan ini berdasarkan kepada kelonggaran dan peralihan dari fasa pandemik ke endemik. Oleh itu, kita akan melaksanakan kawalan lalu lintas serta kawalan keselamatan sepanjang tempoh terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai terutama mereka yang merayakan Pesta Kaamatan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda sepanjang tempoh sambutan perayaan ini.
“Manfaatkan kelonggaran yang diberi selepas dua tahun kita tidak dapat merayakan Pesta Kaamatan secara fizikal.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menjaga tatasusila serta ketertiban di jalan raya dan tidak memandu dibawah pengaruh alkohol.
“Ia bagi memastikan sambutan ini dirayakan dalam keadaan gembira tanpa insiden tidak diingini,” katanya.
-Deasoka