185 pelancong Korea Selatan tiba di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Ketibaan 185 pelancong Korea Selatan menerusi penerbangan semula syarikat penerbangan Jin Air dari Incheon, Seoul petanda industri pelancongan di negeri ini kembali rancak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, Sabah merupakan negeri terpenting berikutan separuh ketibaan pelancong Korea Selatan datang ke Sabah menerusi rekod pada 2019.

Pelancong dari Korea Selatan tiba di KKIA menerusi penerbangan terus syarikat Jin Air.

“Pada 2019, kita mendapati lebih 600,000 orang Korea Selatan datang ke Malaysia dan daripada jumlah itu seramai 360,000 ke Sabah iaitu lebih daripada separuh.

“Ini membuktikan bahawa Kota Kinabalu merupakan satu destinasi penting untuk warga Korea, maka kita rasa kita boleh pasarkan untuk mendapat lebih ramai pelancong dari negara itu dan dalam masa sama mempromosikan produk baharu kita,” katanya.

Pesawat Jin Air membawa 185 pelancong Korea Selatan tiba KKIA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelancong Korea Selatan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini malam tadi.

Katanya lagi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus memberi kerjasama dengan kerajaan Sabah supaya negeri ini terus menjadi pilihan pelancong dari negara itu.

“Saya difahamkan pelancong akan bertambah dan kita sentiasa bekerjasama dengan Sabah, banyak rancangan kita akan lakukan contohnya pemasaran kita buat di Korea Selatan dan pada masa sama saya difahamkan pelbagai platform kebudayaan juga kita ingin anjurkan bersama untuk mempromosikan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah sebelum ini mencatatkan sebanyak 65 penerbangan terus dari Korea Selatan bagi tempoh seminggu.

“Kita berharap penerbangan semula yang pertama daripada syarikat penerbangan Korea Selatan ini akan mengembalikan kadar penerbangan seperti biasa sebelum pandemik Covid-19.

“Kita sentiasa mencari destinasi lain dan bekerjasama dengan MOTAC untuk memastikan kehadiran pelancong ke Sabah akan terus dipertingkatkan sekali gus akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Diminta mengulas lanjut, secara keseluruhan Sabah ketika ini sudah menerima empat penerbangan terus dari luar negara iaitu dari Brunei, Singapura, Filipina dan Korea Selatan.

“Insya-Allah, saya yakin dengan keadaan yang lebih baik ini, industri pelancongan kita dapat dipertingkatkan dari masa ke masa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|