Kota Kinabalu: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah setakat ini menerima lebih 30,000 permohonan untuk mendapatkan rumah kos rendah daripada penduduk negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, berikutan permohonan yang banyak itu, kerajaan negeri diharap mengambil serius bahawa ramai rakyat berpendapatan rendah memerlukan rumah kos rendah.
Jelasnya, rumah kos rendah dibina oleh LPPB melalui peruntukan kerajaan negeri dan dijual kepada rakyat berpendapatan rendah dengan harga serendah RM47, 000 seunit.
“Sebagai pengerusi, saya ingin menyatakan hasrat kita supaya pihak kerajaan negeri mengambil serius hal ini kerana saya mendapati setakat ini kita mempunyai lebih 30,000 rakyat yang memohon untuk mendapatkan rumah kos rendah.
“Golongan yang kita sasarkan ialah bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Jadi apabila saya melihat sendiri senarai itu, saya agak simpati begitu besar yang diperlukan oleh rakyat Sabah,” katanya, di sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut bagaimanapun tidak menafikan bahawa faktor kewangan menjadi kekangan untuk membina rumah kos rendah dengan lebih banyak.
“Jadi kita di pihak LPPB tidak mampu menyediakan, kita harap melalui program Sabah Maju Jaya (SMJ) pihak pimpinan kerajaan negeri mengangkat isu ini sebagai satu objektif utama untuk kita menyediakan rumah kepada rakyat kita di Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan pimpinan kerajaan negeri supaya mempunyai visi untuk membina 10,000 rumah kos rendah.
“10,000 itu bukanlah dalam jangka masa setahun dua, mungkin lima atau 10 tahun dan kita harus optimis untuk membuat visi itu sebab jika tidak bermula sekarang, ia tidak bergerak.
“Bagi kawasan bandar pula, nilai tanah agak mahal jadi untuk membina rumah kos rendah memerlukan kajian yang terperinci.
“Bagaimanapun, di pihak LPPB mana-mana tanah yang kita bekerjasama dengan pihak pemaju kita sarankan mereka membuat rumah mampu miliki iaitu RM250, 000 ke bawah untuk rakyat kita yang kurang berpendapatan tinggi mendapatkan rumah,” katanya.
-Deasoka