Lelaki dipercayai kurang siuman bergayut atas lori, baring atas jalan ditahan polis

Semporna: Polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas dilaporkan mengganggu pengguna jalan raya di Jalan Kunak-Semporna, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan orang awam pada jam 4.50 petang yang melaporkan tindakan bahaya lelaki terbabit.

Katanya, lelaki itu turut dilaporkan bertindak membaling batu terhadap kenderaan yang lalu – lalang di kawasan berkenaan.

“Sejurus aduan diterima, Pasukan Unit Peronda Polis (MPV) terus ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 30-an terbabit sedang berbaring di atas jalan raya.

“Siasatan awal juga mendapati lelaki warga asing itu mempunyai kesan luka pada bahagian kepala dan sudah dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek akan dirujuk ke Bahagian Psikiatri Hospital Semporna serta dipohon reman untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

Dalam pada itu, gelagat lelaki terbabit bergayut di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak di Jjalan Kunak-Semporna berdurasi 1 minit 31 saat tular di media sosial baru-baru ini.

Selain itu, sebuah lagi video berdurasi 22 saat turut tular memaparkan tindakan lelaki terbabit berdiri di tengah jalan dan mengganggu pengguna jalan raya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|