Akibat cemburu, tunang ditetak bekas kekasih hingga parah

Akibat cemburu, tunang ditetak bekas kekasih hingga parah

Penampang: Akibat cemburu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang oleh bekas kekasih tunangnya dalam kejadian di jejantas berhadapan sebuah bank di Putatan, di sini, 18 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 24 tahun diserang secara tiba-tiba menggunakan parang.


Mohd Haris (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama pemimpin setempat yang hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri IPD Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal, polis percaya kejadian bermotifkan perasaan cemburu dan sakit hati.

Katanya, akibat serangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan akibat ditetak suspek yang berusia 20 tahun.

“Hasil siasatan dijalankan, suspek berjaya ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 20 Mei lalu.

“Ketika ditahan, polis turut berjaya merampas senjata iaitu parang yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di IPD Penampang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Haris berkata, kes ini dianggap selesai dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Katanya, kertas siasatan penuh akan diserahkan kepada pejabat peguam negara secepat mungkin untuk tindakan selanjutnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|