Kota Kinabalu: Pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini disifatkan sebagai tepat pada masanya dan selari dengan keperluan serta kehendak rakyat Sabah.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, GRS adalah sebuah entiti yang wujud sesuai dengan norma Sabah dan mampu memacu kejayaan kepada rakyat di negeri ini.
“Pelancaran GRS kini tepat pada masanya, kena pada waktu dan sesuai dengan keadaan semasa yang diperlukan oleh rakyat Sabah.
“GRS adalah sebuah kepimpinan bentuk masa depan yang wujud pada masa kini, yang meliputi kepimpinan menyeluruh kawasan Sabah, dari pantai barat dan pantai timur.
“GRS berdiri sebagai satu bentuk kepimpinan yang membawa suara dan perjuangan rakyat Sabah meliputi pelbagai aspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Firdaus lagi, GRS dilihat mampu meneruskan kelangsungan, kestabilan dan kemakmuran negeri ini, sekali gus mampu menjana lebih banyak pembaharuan.
“GRS berdiri dari asas yang kukuh, apa yang saya maksudkan ialah komponen-komponen yang berada bersama dalam GRS, yang mana kerjasama dibentuk dan dipupuk untuk merealisasikan fokus utama kepada kestabilan dan kemakmuran negeri Sabah.
“Saya yakin, usaha dan kerjasama yang dibentuk dari pelbagai latar belakang dan tunjang perjuangan ini bakal membuahkan hasil yang berimpak besar khususnya kepada pembangunan Sabah dan mencapai impian Sabah Maju Jaya,” katanya.
Khairul Firdaus dalam pada itu turut menyeru semua pihak untuk terus memainkan peranan dalam mengekalkan segala keharmonian dan kemakmuran sejagat di negeri Sabah.
“Kita hidup bersama dalam kerukunan sebagai sebuah keluarga yang bersama dalam pelbagai rutin, tanpa melihat perbezaan agama dan bangsa.
“Mari kita kekalkan keharmonian ini selamanya kerana inilah keunikan kita, inilah identiti kita di Sabah, kita pelbagai namun kita tetap satu,” ujarnya.
-Deasoka