Penggunaan ICT jadi keutamaan pembaharuan sistem penyampaian kerajaan

Penggunaan ICT jadi keutamaan pembaharuan sistem penyampaian kerajaan

Keningau: Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan menjadi keutamaan dalam pembaharuan ke arah meningkatkan keberkesanan kaedah penyampaian sedia ada.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan, berkata penjawat awam perlu menerima hakikat bahawa keperluan kepada ruang kerja yang besar dengan kos yang tinggi mungkin tidak lagi relevan pada masa akan datang.

Beliau berkata, pembaharuan penyampaian perkhidmatan awam akan memberikan impak, bukan sahaja kepada peningkatan kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, tetapi juga kepada kos perolehan teknologi dan pendekatan strategik yang digunakan.

“Penjawat awam juga perlu merubah pemikiran (mindset) kepada lebih terbuka kerana senario luar jangka adalah norma baharu pada masa kini.

“Ketangkasan penjawat awam pada masa hadapan akan diuji, khususnya dalam mengurus sumber dengan cost-benefit analysis yang lebih telus, bebas dan berintegriti.

“Pemikiran di luar kotak, kreatif dan inovasi adalah keperluan yang harus ada pada setiap penjawat awam untuk memastikan sektor awam disanjung dan dihormati oleh rakyat,” katanya ketika merasmikan Seminar ICT Sektor Awam Negeri 2022 Wilayah Pedalaman Atas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengurusan perubahan dalam perkhidmatan awam sudahpun dijadikan norma baharu dengan didasari teknologi terkini.

Jelasnya, ledakan data dan pengurusan data raya perlu ada penyelarasan yang berasaskan impak tinggi kepada rakyat.

“Kepelbagaian maklumat kerajaan di pelbagai peringkat ini berupaya menjadi alat yang berguna dalam proses membuat keputusan dan seterusnya membuat dasar-dasar kerajaan.

“Kita juga jangan alpa dalam membina sistem baharu yang menggunakan data yang bertindih dan sudah ditelan zaman,” katanya.

Yakub menambah, teknologi terkini perlu mengambil kira pelbagai aspek strategik kerana ia akan menjadi penentu kepada penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Dalam hal ini, katanya kementerian dan jabatan perlu memainkan peranan yang signifikan dalam mengenal pasti kaedah yang ‘menguntungkan’ pengoperasian pejabat supaya ia berciri hibrid dan fleksibel.

“Hakikatnya keperluan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sudah tentu akan memberi impak besar kepada kos dan tenaga kerja akibat daripada program pendigitalan sistem dan infrastruktur kerajaan.

“Pendigitalan ini dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian, jabatan serta agensi dalam kerajaan negeri.

“Pendekatan ini adalah norma baharu untuk penjawat awam secara amnya dan ia mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri,” katanya.

Katanya, pelaksanaan mesyuarat atas talian (online), webminar dan pendidikan jarak jauh menimbulkan pertikaian terhadap kejujuran dan komitmen terhadap tanggungjawab dan amanah, serta sering menjadi isu utama oleh ketua dan kakitangan.

Keadaan itu, katanya menyebabkan ada segelintir pihak pengurusan masih beroperasi kaedah prosedur lama dengan mesyuarat dan perbincangan secara fizikal di pejabat.

“Sejak pelaksanaan dasar dan inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996 di negara ini, pengaplikasian kerajaan secara elektronik, sistem dan prosedur sedia ada sudah banyak digunakan secara maya.

“Dalam masa yang sama, kerja-kerja integrasi dan pembangunan sistem juga masih berterusan dengan kos yang berpatutan,” katanya.

Mengenai seminar berkenaan, Yakub berkata ia menyentuh beberapa isu dan bidang utama dalam menangani perubahan yang akan membawa kepada penambahbaikan penyampaian perkhidmatan sektor awam negeri selepas pandemik Covid-19.

Seminar kali ini juga, katanya membincangkan bidang keberhasilan utama yang berupaya menyumbang kepada era baharu perkhidmatan awam yang lebih efektif dalam mendepani pelanggan dan rakyat yang lebih mengharapkan perkhidmatan mesra dan cekap.

Jelasnya, ia juga satu forum penting untuk bertukar-tukar maklumat mengenai cabaran dan isu-isu penting berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan awam dan peranan ICT khasnya.

“Majlis seminar seperti ini juga menjadi ruang untuk kita bertukar-tukar pengalaman mengenai dengan perubahan Teknologi ICT dan juga kemajuan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata, sinergi daripada seminar itu akan mencetuskan pelbagai idea dan inisiatif baharu berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada seluruh pihak dalam memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam.

“Oleh itu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pembentang kertas seminar yang terlibat dalam pembentangan kali ini yang terdiri daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) SabahNet Sdn Bhd, MobilityOne Sdn Bhd, Argi Data Portal Sdn Bhd dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri,” katanya.

Tema seminar itu, katanya iaitu ‘Inovasi Digital, Memperkasakan Penyampaian Perkhidmatan Awam’ sangat bertepatan dengan situasi sekarang yang mana negara berdepan dengan perubahan sistem penyampaian perkhidmatan secara digitalisasi kesan pandemik Covid-19.

Jelasnya, kesan pandemik Covid-19 menyebabkan fungsi perkhidmatan awam juga terkesan dalam pelbagai segi, khususnya pengendalian rutin harian kakitangan, urusan kekeluargaan, perjalanan mesyuarat, persekolahan anak-anak dan banyak lagi fungsi baharu yang sedang dan akan diterokai oleh setiap warga perkhidmatan awam.

Katanya, norma baharu itu adalah hanya permulaan kepada gaya hidup yang lebih kompleks ataupun boleh dilihat sebagai going back to basics.

“Dalam sesuatu bencana khususnya berstatus pandemik yang melanda sesebuah negara dan masyarakat, menangani ekosistem selepas bencana adalah lebih kritikal dan membebankan.

“Ini kerana landskap sosio-ekonomi dan politik juga berubah dengan drastiknya akibat daripada keperluan hidup yang baharu,” katanya.

Apa yang berlaku ketika ini, katanya ialah rakyat memerlukan sistem yang lebih efisien, telus dan adil dalam perkhidmatan awam seperti dalam sistem pendidikan yang berorientasikan egalitarian, mabakala bagi struktur pentadbiran kerajaan, ianya didorong oleh kreativiti dan inovasi dan bukannya dipandu oleh rent seekers.

Yakub turut menjelaskab bahawa terdapat banyak lagi bidang keberhasilan yang perlu dirombak dengan memperhalusi strategik serta struktur untuk memastikan agar ia sejajar dengan perubahan masa.

“Sintaksisnya perkhidmatan awam hari ini perlu bergerak secara tuntas dan strategik dalam mendepani cabaran norma baharu pada era endemik ini.

“Pelan strategik kementerian serta jabatan perlu dilihat semula supaya norma baharu perkhidmatan awam dapat ditangani dengan bijak dan mendorong kepada perubahan positif dalam perkhidmatan awam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|