Adakan sidang khas DUN bahas usul tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Adakan sidang khas DUN bahas usul tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu diadakan bagi membincangkan usul penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, jika sidang khas itu dipersetujui banyak perkara perlu dibahaskan kerana melibatkan pengamal dan penggubal undang-undang di Sabah dan Sarawak.

“Parti-parti kerajaan dan pembangkang sewajarnya menyokong perkara itu kerana ia tidak berkaitan dengan fahaman politik sebaliknya ia adalah hak dan suara rakyat Sabah dan Sarawak.

“Perkara itu wajar diutamakan kerana ia adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Dr Maximus Ongkili pada Khamis lalu berhubung isu mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

Masiung turut mencadangkan agar kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak ditambah menjadi satu pertiga atau lebih 70 peratus bilangan kerusi yang bakal ditambah di seluruh negara menjelang penggal akan datang.

Beliau turut menggesa MKMA63 supaya menekankan merit pemberian khas 40 peratus kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, sidang DUN merupakan platform paling sesuai untuk merit pemberian khas itu dibahaskan memandangkan tuntutan MA63 telah lama dibangkitkan tanpa sebarang kata putus daripada kerajaan Persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|