Pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu diberi keutamaan tertinggi

Pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu diberi keutamaan tertinggi

Kota Kinabalu: Pemimpin muda dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu cadangan bagi mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak diberikan keutamaan yang tertinggi.

Naib Ketua Armada BERSATU Sabah, Rafie Robert, berkata perkara itu perlu memandangkan ia membabitkan kepentingan negara.

Beliau berkata, walaupun keputusan untuk menambah kerusi Parlimen terletak di tangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), perkara itu sangat penting kerana ia satu lagi pengembalian hak kedua-dua negeri yang selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita mesti menekankan perkara ini dan memastikan ia menjadi kenyataan demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak. Semangat sebenar persekutuan mesti dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ketika pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi Parlimen, manakala Sarawak dan Singapura masing-masing mempunyai 24 dan 15 kerusi daripada keseluruhan 159 kerusi pada masa itu.

Malaya ketika itu mempunyai 104 kerusi atau 65 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

Jumlah kerusi Sabah, Sarawak dan Singapura pada masa itu mewakili 35 peratus atau satu pertiga daripada kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, jumlah kerusi Parlimennya dipindahkan ke Malaya.

Rafie berkata, cadangan mengembalikan kadar 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak membolehkan agihan kuasa yang lebih seimbang di antara tiga wilayah yang membentuk Malaysia ketika ini iaitu Semenanjung dan dua negeri Borneo itu.

Beliau juga berkata, ia akan memperkasa negeri kedua-dua negeri Borneo itu untuk melindungi kepentingan masing-masing dalam persekutuan.

“Kita sudah berjuang untuk hak kita sejak sekian lama tetapi kita memerlukan angka untuk mendapatkan kekuatan yang lebih besar,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini mendedahkan bahawa pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak adalah antara isu utama dibincangkan pada mesyuarat kelima Majlis Khas MA63 (MKMA63).

Bagaimanapun, katanya lebih banyak libat urus diperlukan berkaitan isu berkenaan, khususnya dalam kalangan penggubal dan pengamal undang-undang di kedua-dua negeri.

Jelas Maximus, penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak sudah lama meminta agar dilakukan semakan jumlah kerusi Parlimen di kedua-dua negeri.

Maximus turut menegaskan kerusi milik Singapura sebelum sepatutnya dipindahkan ke Sabah dan Sarawak untuk mengekalkan kadar 35 peratus itu.

Rafie berkata, GRS mengucapkan tahniah atas kenyataan Maximus itu dan menyifatkannya sebagai langkah ke hadapan jika semangat sebenar persekutuan benar-benar dihormati.

Beliau turut bersetuju dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bahawa desakan Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan satu pertiga daripada kerusi Parlimen adalah untuk menjaga kepentingan kedua-dua negeri daripada sebarang tindakan tidak rasional pemimpin kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan berkata walaupun kerajaan persekutuan sekarang dilihat rasional, tiada jaminan mengenai pemimpin persekutuan mempunyai semangat yang sama pada masa depan.

Abang Johari bimbang mereka mungkin memansuhkan MA63 dengan meminda Perlembagaan Persekutuan melalui sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Berdasarkan perkiraan semasa, daripada 222 kerusi Parlimen ketika ini, sebanyak 166 kerusi atau 75 peratus adalah di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah di negeri Borneo dengan Sarawak 31 kerusi, manakala 25 kerusi di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|