Pengamal media rakan strategik PDRM

Pengamal media rakan strategik PDRM

Kota Kinabalu: Pengamal media dianggap sebagai rakan strategik jangka masa panjang bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

Ia susulan kerjasama baik dalam usaha pengamal media memberikan liputan, publisiti dan hebahan terhadap setiap program serta aktiviti yang dilaksanakan oleh PDRM Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, media massa memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

“Malah peranan media adalah sebagai ‘lidah’ kepada masyarakat juga tidak dapat disangkal lagi.

“PDRM Sabah dapat mendengar dan mengetahui apa juga keluhan, harapan dan penghargaan masyarakat melalui hubungan dua hala seperti ini,” katanya ketika berucap selepas pertandingan boling majlis santai sepetang PDRM bersama media sempena peringatan Hari Polis ke-215 Tahun di sini, semalam.

Sehubungan itu, Idris berharap hubungan dan jalinan PDRM sabah bersama media dikuatkan lagi dengan program yang dianjurkan itu.

“Saya mengharapkan PDRM Sabah dan media terus bekerjasama dan saling berinteraksi dalam menyebarluas maklumat yang tepat kepada masyarakat.

“Saya juga amat berharap semoga program pada petang ini dapat dilihat sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara kedua pihak.

“Selain itu juga supaya saling mengenali, bertukar fikiran dan mengembangkan idea bagi mengenal pasti pendekatan yang lebih berkesan dalam usaha PDRM Sabah khasnya berhadapan dengan cabaran pada masa kini terutamanya persepsi masayarakat terhadap PDRM,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|