MoU tangani serangan siber terhadap laman web dan aplikasi kerajaan negeri

MoU tangani serangan siber terhadap laman web dan aplikasi kerajaan negeri

Tawau: Kerajaan negeri akan mengadakan memorandum persefahaman (MOU) dengan CyberSecurity Malaysia bagi menangani ancaman serangan siber ke atas laman web dan aplikasi kerajaan negeri.

Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Zainudin Aman berkata MoU itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Zainudin bersama peserta seminar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sektor awam negeri 2022 Zon Pantai Timur Sabah, di Tawau.

Beliau berkata, melalui MoU itu, ia diharap dapat melatih pakar tempatan yang mahir dalam siber forensik dan sekuriti untuk menangani ancaman serangan siber di negeri ini.

“Kerajaan negeri kemudiannya akan meletakkan pakar-pakar ini di setiap kementerian bagi memastikan semua kementerian bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.

“Kita juga mahu memastikan perkhidmatan awam negeri mampu menangani serangan siber yang berlaku di alam maya khususnya yang ditujukan kepada laman web kerajaan negeri,” katanya pada seminar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sektor awam negeri 2022 Zon Pantai Timur Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seminar berkenaan diadakan untuk memantapkan sektor awam khususnya memperkasa anggota perkhidmatan awam dengan pengetahuan semasa berkaitan ICT dan pendigitalan.

Katanya, ia bagi memberikan informasi berkaitan ICT supaya usaha kerajaan untuk mencapai kerajaan digital tercapai.

“Selain itu, KSTI Sabah akan melancarkan satu program iaitu ‘Digital Government’, dengan harapan perkhidmatan kerajaan negeri 100 peratus menggunakan digital menjelang 2025,” katanya.

Zainudin berkata, KSTI Sabah dan Jabatan Komputer Negeri Sabah akan memberikan segala yang termampu bagi memastikan usaha pendigitalan tercapai sepenuhnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|