Pengalaman ngeri empat sekeluarga ketika menjamu selera

Pengalaman ngeri empat sekeluarga ketika menjamu selera

Kota Kinabalu: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berdepan pengalaman mengerikan ketika menjamu selera apabila alat memasak ‘steamboat’ mereka tiba-tiba meletup, di sebuah premis restoran, di Alam Mesra, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit dilaporkan terpaksa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan segera.

Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan Ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam.

Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa wanita dilaporkan cedera di bahagian tangan manakala mangsa lelaki pula melecur di tangan dan luka di kaki.

“Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan Ambulans,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.

Katanya, operasi terkawal pada jam 9.35 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya enam minit selepas itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|