Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMS tular di media sosial, tambat hati hadirin

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMS tular di media sosial, tambat hati hadirin

Kota Kinabalu: Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menawan hati para hadirin dengan alunan suara merdunya yang kemudian tular di media sosial.

Kristy Samunting, 23, menutup ucapan selaku penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 dengan menyanyikan lagu ‘Memori Tercipta’ yang dipopularkan oleh Shila Amzah.

Tangkap layar video nyanyian Kristy yang tular di media sosial, sejak semalam.

Video berdurasi satu minit itu telah mencapai lebih 233,000 tontonan dengan ramai yang memuji suara anak kelahiran Sabah itu.

Lebih menarik lagi, beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) yang pertama menerima anugerah tersebut.

“Saya tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut dan beranggapan anugerah seperti ini biasanya akan disandang oleh pelajar dalam bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, akaun dan sebagainya.

“Saya terharu dan bangga atas kejayaan diri saya sekarang serta sangat bersyukur kepada Tuhan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 di Dewan Canselor, baru-baru ini.

Menceritakan kembali perjalanan yang membawanya ke tahap ini, beliau berkata, minat terhadap seni muzik sudah wujud sejak dahulu lagu.

Jelas beliau, ibunya telah menyedari perkara itu sejak beliau masih kecil kerana sering melihatnya menyanyi di hadapan televisyen setiap kali hiburan muzik berlangsung.

Tambahnya, beliau merasa sangat bersyukur kerana pilihan untuk terus bergiat aktif dan mengejar cita-cita dalam dunia seni muzik adalah tepat.

“Jurusan saya sebelum ini adalah sains dan pernah bercita-cita untuk menjadi peguam ataupun arkitek.

“Namun, saya menyedari bakat yang ada dalam diri dan mengambil keputusan untuk meneruskannya dalam bidang seni.

“Saya mahu buktikan kepada orang ramai, walaupun mengambil seni muzik bukan bermakna hanya mampu menjadi artis sahaja, namun ada lebih banyak cabang lagi kita mampu lakukan dalam dunia seni ini,” katanya.

Tidak mensia-siakan masa yang terluang, Kristy berkata, semasa masih berstatus pelajar, beliau turut melakukan kerja separuh masa sebagai seorang guru vokal secara dalam talian.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau juga tidak lupa untuk melakukan tugasan dan praktis setiap hari kerana program ini memerlukan praktis yang banyak di samping membaca bahan-bahan melalui e-book.

“Selepas ini saya akan ke Singapore kerana telah mendapat tawaran bekerja di Aureus Academy dan akan mula bekerja pada bulan Januari nanti.

“Moto hidup yang saya pegang sehingga ke hari ini ialah, “Do what you love, and love what you do,” katanya lagi.

Kristy merupakan graduan yang berasal dari Tambunan, berbangsa Kadazandusun dan merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|