Kecekalan, dedikasi tunggak kejayaan mahasiswa

Kecekalan, dedikasi tunggak kejayaan mahasiswa

Kota Kinabalu: Semangat kecekalan dan tidak mudah putus asa menjadi kunci kejayaan graduan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Kampus Antarabangsa Labuan (KAL).

Wong Chee Hung, 24, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Naib Canselor selepas mencatatkan keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.

Bukan itu sahaja, penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian (Pengkomputeran Perniagaan) itu turut mencipta kenangan manis apabila memperoleh Anugerah Dekan selama tujuh semester sepanjang pengajiannya di UMS.

Menceritakan pengalaman beliau sepanjang bergelar mahasiswa, Chee Hung berkata, beliau sering melakukan aktiviti mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

Jelasnya, pada waktu itu beliau lebih mudah untuk mengingati tajuk dengan menulis dan membaca secara kuat.

“Saya juga merancang sebelum melaksanakan sebarang perkara dengan mengemukakan soalan apa, bagaimana dan mengapa perkara tersebut perlu dilakukan.

“Saya juga berpegang dengan prinsip, jika mencuba kamu ada peluang, jika berputus asa kamu tidak akan dapat apa-apa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24, baru-baru ini.

Selain pencapaian dalam bidang akademik, pemuda kelahiran Ipoh, Perak ini turut bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum dengan menyertai Pertandingan Programming League National pada tahun 2020 di mana pasukan UMS telah berjaya mendapat tempat ke-50.

Tambah beliau, interaksi antara ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan turut memainkan peranan dalam menaikkan motivasi belajar sepanjang pengajian beliau di UMS.

“Saya amat berterima kepada keluarga yang memberikan sokongan moral yang tidak henti terutamanya dari segi kewangan.

“Saya juga berterima kasih dan percaya tanpa sokongan penyelia projek tahun akhir saya, Dr. Goh Say Leng saya mungkin tidak dapat menyiapkan projek yang bertajuk ‘Genetic Algorithm for Course Timetabling di UMSKAL,” katanya.

Jelasnya, hasil projek tahun akhir ini telah diterbitkan dalam 2022 IEEE 18th International Colloquium on Signal Processing & Application (CSPA).

“Buat masa sekarang, saya ingin mencari pekerjaan dan setelah stabil saya akan memulakan perniagaan sendiri.

Untuk rekod, seramai 4,298 graduan UMS bagi tahun 2022 diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-24 yang berlangsung pada 10 hingga 12 Disember ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|