Keputusan keluar BERSATU tidak jejas kedudukan Hajiji

Keputusan keluar BERSATU tidak jejas kedudukan Hajiji

Kota Kinabalu: Keputusan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah meninggalkan parti dan menjadi ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Peguam awam dan perlembagaan, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, berkata ia kerana gabungan GRS-BN kekal utuh dengan 46 ADUN, selain keyakinan dan komitmen daripada tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) yang menyokong beliau.

“Adalah difahamkan juga bahawa Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan tiga ADUN dan seorang calon Bebas menyokong teguh kerajaan GRS-BN.

“Berdasarkan jumlah ini, Hajiji jelas mendapat sokongan daripada 57 ADUN – majoriti dalam 79 ahli Dewan dan dengan itu terus menikmati keyakinan Dewan mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menjawab kenyataan media terbaru Tinbalan Presiden WARISAN, Darrell Leiking, Tengku Fuad berkata, keempat-empat Ahli Parlimen GRS juga tidak akan kehilangan kerusi mereka akibat meninggalkan BERSATU.

Jelas beliau, ini kerana mereka bertanding sebagai calon GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu dan bukan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) atau BERSATU.

Oleh itu, tambahnya, tidak berlaku perlanggaran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan memandangkan keempat-empat mereka dipilih di bawah GRS.

Pemimpin BERSATU Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu itu, semalam.

Menerusi satu kenyataan, Hajiji berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|