Pemandu, penumpang parah kereta bertembung lori

Pemandu, penumpang parah kereta bertembung lori

Kunak: Dua parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori 8 tan dalam kejadian di Jalan Kampung Pangi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa parah iaitu pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil berusia 32 dan 36 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.18 petang.

Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa lelaki di dalam kereta Perodua Kancil mengalami parah manakala pemandu lori hanya cedera ringan.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Perodua Kancil dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kunak menggunakan EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan tindakan selanjutnya bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.54 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|