Penduduk dua kampung di Ranau dapat jambatan konkrit baharu

Penduduk dua kampung di Ranau dapat jambatan konkrit baharu

Ranau: Lebih 900 penduduk Kampung Togop Darat dan Kampung Togop Laut, di sini, kini dapat menyeberangi Sungai Kopuakan dengan selamat, termasuk pada musim hujan selepas jambatan konkrit jenis kekal yang merentasi sungai siap pada Mei lalu.

Jambatan sepanjang 90 meter yang menghubungkan kedua kampung itu sudah boleh digunakan sejak siap sepenuhnya pada 16 Mei lalu, iaitu sebulan lebih awal daripada jadual penyiapan yang ditetapkan pada 20 Jun.

Dr Joachim menandatangani plak perasmian jambatan baharu Sg Kopuakan di Kampung Togop Darat, Ranau .

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang merasmikan kemudahan itu hari ini, berkata jambatan baharu itu juga dilengkapi dengan papan tanda keselamatan dan kerja-kerja teknikal lain untuk perlindungan cerun dan tebing sungai seperti rumput, batuan dan lain-lain yang berkaitan aspek keselamatan.

“Sebagai wakil rakyat di sini saya berterima kasih kepada kerajaan negeri, melalui Kementerian Kerja Raya yang telah menyediakan peruntukan dan membina jambatan ini. Jambatan ini memberikan manfaat kepada lebih 900 penduduk kampung di sini.

Dr Joachim (tengah) meninjau jambatan baharu Sg Kopuakan dengan diiringi Mac Glen (kanan).

“Inilah bukti kerajaan begitu prihatin kepada rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang. Ini juga selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kerana ia adalah untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo; Setiausaha Sulit, Japli Sami; Setiausaha Perhubungan Awam, Khairol M Kalimin; Ketua Polis Daerah Ranau, Samiun Lomudin; kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang; Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN); Ketua Anak Negeri (KAN), ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Dr Joachim (tengah) menyantuni penduduk kampung pada Majlis Perasmian Jambatan Baharu Sg Kopuakan di Kampung Togop Darat, Ranau.

Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, berkata dengan adanya jambatan baharu itu, penduduk di kawasan berkenaan lebih selesa dan selamat meneruskan aktiviti harian masing-masing.

Pada masa yang sama, katanya penduduk kampung dan sekitarnya kini boleh ke Sekolah Kebangsaan (SK) Togop Darat, masjid, gereja serta mini dewan yang berada di kawasan seberang dengan lebih mudah.

Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, di bawah pimpinan Mac Glen Frederick Lojuman dan kontraktor atas kejayaan pelaksanaan projek jambatan terbabit.

Penduduk kampung sebelum ini menggunakan jambatan timbul tenggelam (low level crossing) yang dibina pada 2011 tetapi sukar dilalui kenderaan kecil apabila musim hujan berpanjangan dan banjir melanda.

Sebagai alternatif lain, mereka terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi sungai berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|