5 juta minyak masak paket tidak cukup akibat penyeludupan

5 juta minyak masak paket tidak cukup akibat penyeludupan

Putatan: Dianggarkan sebanyak lima juta paket minyak masak bersubsidi diagihkan di Sabah setiap bulan namun disebabkan aktiviti penyeludupan produk itu sukar diperoleh sejak kebelakangan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sebanyak 36 syarikat di negeri ini diberikan lesen oleh kerajaan untuk melakukan pembungkusan semula minyak paket bersubsidi RM2.50 untuk kegunaan rakyat Sabah terutama golongan sasar.

Shahelmey (dua kiri) menyerahkan lembu korban sumbangan Pejabat ADUN Tanjung Keramat sempena sambutan Aidiladha di Putatan.

“Kita ada 5,200 metrik tan minyak masak bersubsidi jadi kalau satu kilogram ertinya kita ada lima juta paket sebulan dan penduduk kita di Sabah cuma empat juta di mana bukan semua berpendapatan rendah yang menggunakan minyak masak paket atau sawit.

“Jika mengikut perkiraan kegunaan minyak masak bagi setiap seorang adalah sebanyak 1.5 kilogram namun antara punca kenapa kita menghadapi kesukaran untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi adalah disebabkan pengkhianatan oleh mereka yang telah menyeludup minyak masak tersebut.

“Minyak masak dijual ke negara jiran bagi mengaut keuntungan disebabkan harga minyak sawit yang tidak bersubsidi lebih tinggi berbanding RM2.50,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan lembu korban di pekarangan Majlis Daerah Putatan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya syarikat melakukan pembungkusan minyak masak berpaket ditambah bagi menangani isu kekurangan minyak masak bersubsidi ketika ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga ADUN Tanjung Keramat memaklumkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan minyak masak sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan penguat kuasa lain.

Sebelum itu, Shahelmey turut menasihatkan pengguna supaya melaporkan kepada KPDNHEP jika minyak masak peket bersubsidi dijual lebih mahal daripada harga yang telah ditetapkan iaitu RM2.50.

“Kita minta orang awam laporkan kepada KPDNHEP dengan bukti agar siasatan dan tindakan susulan dapat diambil,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, Shahelmey memaklumkan sebanyak 20 lembu disumbangkan daripada Pejabat ADUN Tanjung Keramat kepada masjid dan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Diharap dengan sumbangan ini dapat mengimarahkan lagi ibadat korban masyarakat Islam di samping mengeratkan lagi komuniti dengan pasukan keselamatan di daerah ini,” katanya.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|