Ranau: Seorang wanita terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan terseliuh kaki ketika menuruni Gunung Kinabalu di Kilometer 6, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, wanita berusia 43 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan terpaksa dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12 tengah hari.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk MOSAR bersama Ranger Taman-Taman Sabah dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan Niel Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang selamat tiba di Timpohon Gate, kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS.
“Operasi tamat pada 6.50 petang tadi,” katanya.
-Deasoka