Beluran: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala sepupunya sempat menyelamatkan diri ketika menghalau lembu dari sungai Kampung Botition, di sini, semalam.
Difahamlan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohammad Nizam, 29 dan sepupumya, Azalie, 37, berenang di sungai berkenaan untuk menghalau lembu yang berada di dalam sungai untuk ke kandang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.18 petang.
Katanya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikejar ke lokasi kejadian.
“Menurut pemanggil terdapat seorang mangsa lemas di sungai semasa berenang bersama sepupu untuk menghalau lembu yang berada di sungai untuk naik ke darat dan masuk ke dalam kandang lembu.
“Sepupu mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang di tepi sungai dan seterusnya dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Manakala seorang mangsa dilaporkan hilang dan pasukan BBP Beluran dari pemantauan banjir terus bertolak ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam. 8.30 pagi tadi dengan menyusuri sungai sepanjang tiga kilometer dari lokasi mangsa hilang dilaporkan hilang.
“SAR dilakukan dengan menggunakan sebuah bot pasukan bomba dan sebuah lagi bot orang awam bersama pihak polis.
“Operasi kemudian ditangguhkan atas faktor cuaca pada jam 6 petang tadi dan akan disambung semula pada hari esok,” katanya.
-Deasoka