Pendaki bengkak buku lali diselamatkan

Pendaki bengkak buku lali diselamatkan

Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan bengkak buku lali di Kilometer 7.2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 35 tahun terbabit dikatakan sukar untuk meneruskan perjalanan dan perlu mendapatkan bantuan untuk membawanya turun bagi mendapatkan rawatan.

Mangsa dihantar menggunakan jentera EMRS ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 14 anggota dan pegawai JBPM termasuk MOSAR dan Malim Gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaannya stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan ‘paggyback carry’ oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya tiba di Timpohon Gate, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau oleh jentera ERMS untuk rawatan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.02 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|