Pendaftaran GRS bawa kebaikan – Bung Moktar

Pendaftaran GRS bawa kebaikan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO Sabah mengakui pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi membawa kebaikan kepada kestabilan politik di Sabah.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut mengakui kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pembangunan.

“Memang ada kebaikan untuk penjenamaan GRS dengan mendaftarkannya sebagai sebuah parti (gabungan) untuk kestabilan politik di negeri ini.

“Kestabilan politik amat penting bagi kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan terutama untuk meningkatkan ekonomi negeri dan mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas maklum balas Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor yang menyatakan tidak ragu-ragu melaksanakan cadangan itu jika ia dipersetujui semua parti komponen GRS.

Ketika menutup program Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS, di Kudat kelmarin, Hajiji berkata beliau percaya pendaftaran GRS sebagai pakatan rasmi akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan dalam kalangan parti komponennya.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, bagaimanapun berkata cadangan itu perlu diperincikan dalam mesyuarat khas GRS sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita menerima baik cadangan ini, bagaimanapun ia perlu diperincikan dalam satu mesyuarat sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS,” katanya.

Ketika ini GRS adalah satu gabungan longgar yang dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Selain BERSATU, PN Sabah dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, manakala BN Sabah merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyokong cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai sebuah gabungan politik rasmi, namun UMNO Sabah belum memberikan kata putus.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|