Beaufort: Operasi pencarian adik Jude Angel Jeremy, 18 bulan, yang hilang di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, di sini, sejak Sabtu lalu, akan ditamatkan bermula petang ini.
Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan antara pasukan operasi bomba dan pihak polis.
Bagaimanapun katanya, walaupun operasi dihentikan, namun pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan keluarga mangsa dan penduduk kampung.
“Walaupun dihentikan, namun pasukan bomba akan diletakkan dalam keadaan siap sedia menjalankan operasi pada bila-bila masa.
“Sekiranya ada mana-mana pihak menemui sebarang kesan atau petunjuk baharu, maka operasi pencarian akan terus dilaksanakan semula,” katanya ketika ditemui, di lokasi pencarian, hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengerahkan anggota bomba mengambil maklumat terkini daripada keluarga mangsa setiap hari.
Sementara itu, Mohammad Hasbullah berkata, operasi pencarian hari ini dijalankan dengan kekuatan 25 anggota bomba dan pegawai JBPM, polis, Rela dan APM.
Selain itu katanya, operasi turut dibantu seramai 30 penduduk kampung yang menjalankan pencarian di kawasan sungai berhampiran.
“Bagaimanapun, operasi pencarian yang masuk hari ketujuh meliputi kawasan seluas 2 kilometer ini masih menemui jalan buntu,”katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, adik Jude Angel yang dijaga neneknya dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah keluarga terbabit seorang diri.
Mangsa dipercayai sesat di hutan ataupun terjatuh ke sungai berhampiran.
-Deasoka