Pemimpin pembangkang gagal tunjuk contoh politik yang baik

Penampang: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kapayan membidas sikap segelintir pemimpin pembangkang tidak menunjukkan contoh yang baik dalam landskap politik Sabah kerana enggan menerima jemputan untuk hadir bagi memeriahkan bersama sambutan Kaamatan.

Ketuanya, Jafery Jomion, berkata sikap itu memperlihatkan ketaksuban pemimpin terbabit yang lebih mementingkan politik kepartian berbanding mengeratkan perpaduan rentas parti demi kebaikan bersama.

Jafery menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta program yang dianjurkan sempena Pesta Kaamatan Bahagian Kapayan.

Jelasnya, ia juga mendedahkan sikap sombong ahli politik pembangkang yang menunjukkan mereka tidak terbuka dalam berpolitik dan seharusnya ditolak terutama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Ini dapat dilihat dalam penganjuran perayaan Pesta Kaamatan Bahagian Kapayan yang mana ada pemimpin parti pembangkang yang telah dijemput namun tidak memberi sebarang maklum balas langsung untuk hadir.

Jafery bersama tetamu yang hadir pada Pesta Kaamatan Bahagian Kapayan di Dewan Raya Kampung Kibouvang Kapayan, Penampang.

“Jika tidak hadir pun, berilah respon tidak dapat hadir. Inilah budaya politik perpecahan yang tidak baik untuk diamalkan,” katanya kepada pemberita pada majlis itu di Dewan Raya Kampung Kibouvang Kapayan, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah; Senator Datuk John Ambrose; Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Freddy Sua dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.

Jafery berkata, sepatutnya ahli politik harus mengutamakan politik perpaduan yang lebih matang berbanding menunjukkan perpecahan antara pemimpin.

“Kita minta ahli politik pembangkang tidak terlalu emosi dan harus menunjukkan sikap keterbukaan serta memberi contoh yang baik dalam landskap politik di Sabah,” katanya.

Sebelum itu, Jafery yang juga penaung perayaan Pesta Kaamatan itu turut menyeru semua masyarakat di negeri ini bersatu selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.

“Sebagai tali yang mengikat kita semua dalam satu keluarga kerana Kaamatan tidak ada kena mengena dengan sebarang Perayaan agama seperti perayaan yang Kita sambut setiap tahun.

“Tetapi ia lebih kepada perayaan yang mengajar semua umat manusia untuk bekerjasama dalam semua aspek termasuk dari segi pekerjaan seperti pertanian dan sebagainya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|