Tawau: Dua bot jongkong asing ditahan sebelum diusir keluar dari perairan negara dalam kejadian di kawasan Laut Burst Point, Pulau Sebatik, di sini, hari ini.
Kedua-dua bot dinaiki lima warga negara Indonesia itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau ketika menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pihaknya menahan dua bot jongkong lokasi sama pada waktu yang berbeza yang berada di kawasan perairan Tawau.
“Bagi kes pertama bot jongkong dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 34 tahun manakala sebuah lagi bot jongkong dinaiki tiga lelaki berusia 31 hingga 55 tahun.
“Pemeriksaan mendapati semua mereka adalah warga negara Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ridzauddin berkata, semua mereka diberi penerangan berkaitan pematuhan
prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Seterusnya kedua-dua bot jongkong berkenaan diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19.
“Selain itu, mereka turut diberi amaran supaya tidak menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutama jenayah rentas sempadan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.
-Deasoka