Sandakan: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Papat mengambil tindakan segera meninjau kejadian jambatan roboh di Jambatan 10, Kampung Berhala Darat, di sini, petang semalam.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Papat, Shaiful Bahari Muin bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan penduduk untuk menilai tahap kerosakan dan memastikan pembaikan dapat dilaksanakan segera.
Turut meninjau kerosakan jambatan terbabit ialah Jurutera Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan.
Shaiful berkata, tinjauan pihaknya mendapati kejadian itu turut menyebabkan tiang elektrik dan paip air patah, manakala pondok tempat penyimpanan bot roboh.
“Keadaan ini juga menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang tinggal di bahagian laut untuk melalui jambatan. Namun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan,” katanya, di sini.
Beliau berkata, pihak UPPM Tanjung Papat juga sudah menghubungi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk membuat penutupan sementara bagi mengelakkan pembaziran air dan memohon pembaikan segera kerosakan paip air bagi mengelak kesulitan kepada penduduk.
Selain itu, katanya pihak UPPM Tanjung Papat turut menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk melakukan pemeriksaan dan membaik pulih segera kerosakan demi keselamatan penduduk selain memastikan bekalan elektrik tidak terganggu.
“UPPM Tanjung Papat juga berbincang dengan Jurutera MPT untuk membuat pembaikan segera bagi memastikan laluan penduduk dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya.
-Deasoka