Pemilik restoran dipenjara 10 tahun, sebat kerana pukul isteri

Tawau: Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan terhadap seorang pemilik restoran kerana mencederakan isterinya menggunakan sebatang rotan, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Md Yusuf, 34, menerima hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mohd Faizal dibawa anggota polis selepas dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan kerana cederakan isteri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Faizal didakwa menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Siti Nur Ajeerah Lama, 32, menggunakan sebatang rotan di sebuah restoran, di Batu 1, Jalan Kuhara pada jam 1 tengah hari, 6 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana, dalam hujahnya memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh atas kepentingan awam selain mengambil kira kecederaan mangsa yang kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula memohon hukuman diringankan dengan alasan tindakan itu diambil kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.

Awang Kerisnada memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula pada tarikh dia ditahan pada 7 April lalu.

Dalam penghakimannya, Awang Kerisnada berkata hukuman itu turut mengambil kira tahap kecederaan mangsa selain menimbangkan fakta kes dan kepentingan awam.

“Tidak kira betul atau tidak mangsa curang, kamu tidak sepatutnya memukul isteri dengan teruk, tertuduh boleh sahaja merujuk ke Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.

Isteri tertuduh sebelum ini membuat laporan polis pada jam 10.42 malam, 6 April lalu selepas dipukul suaminya.

Mangsa juga mengadu rasa terancam kerana sering dipukul oleh tertuduh setiap kali berlaku pergaduhan di antara mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|