Pasukan keselamatan, petugas kesihatan penting dalam pelaksanaan Halatuju SMJ – Hajiji

Kota Kinabalu: Pasukan keselamatan dan petugas kesihatan banyak membantu usaha kerajaan dalam melaksanakan pelan pembangunan negeri, khususnya melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi tugas masing-masing menjaga keamanan dan memerangi Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau yakin pasukan keselamatan dan petugas kesihatan memainkan peranan penting untuk membantu negara merealisasikan visinya menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif dan Sabah sebuah negeri yang makmur.

Hajiji menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada Rose Nani.

“Keamanan yang kita nikmati ketika ini membolehkan negara terus maju ke hadapan. Dalam konteks pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April lalu, keamanan Malaysia adalah penting untuk membantu mendapatkan keyakinan pelabur serta menarik pelancong asing datang ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada Mohd Halim.

Acara berkenaan diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada semua anggota pasukan keselamatan di Sabah dan kali ini turut diperluaskan kepada petugas kesihatan.

Hajiji berkata kerajaan dan rakyat terhutang budi atas sumbangan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan.

Hajiji diiringi Safar beramah mesra dengan pegawai kanan pasukan keselamatan termasuk Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Halim Khalid (depan).

“Juga tidak dilupakan petugas kesihatan, doktor, jururawat dan paramedik yang telah bekerja tanpa jemu terutama ketika pandemik Covid-19.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta pengorbanan semua anggota dalam pasukan keselamatan serta petugas kesihatan,” katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai; dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Hadir sama ialah ketua dan pegawai kanan pasukan keselamatan termasuk Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid dan Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Majlis itu turut dihadiri isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag dan Pengerusi PUSPANITA Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|