Kementerian Pengangkutan digesa kaji pengurangan tambang penerbangan Sabah-Semenanjung

Kementerian Pengangkutan digesa kaji pengurangan tambang penerbangan Sabah-Semenanjung

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menggesa Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji pengurangan tambang penerbangan domestik terutama di antara Semenanjung dan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kadar tambang yang meningkat ketika ini dilihat membebankan penumpang yang ke Kuala Lumpur atau ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

“Sama ada untuk tujuan bekerja atau berjalan-jalan, tambang penerbangan yang tinggi memberi cabaran kepada individu dan keluarga.

“Ini juga tidak sesuai dengan aspirasi untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah ketika sempadan negara telah dibuka sejak 1 April lalu,” katanya selepas membincangkan isu itu pada mesyuarat Kabinet, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melihat keadaan bertambah serius apabila harga tambang penerbangan semakin meningkat kebelakangan ini.

Katanya, laporan akhbar baru-baru ini berhubung kenaikan harga tambang bagi penerbangan Kuala Lumpur – Sabah sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri menimbulkan kebimbangan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri mahu kerajaan persekutuan dan Kementerian Pengangkutan meneliti perkara itu.

“Kami menggesa Menteri Pengangkutan melihat perkara ini dengan segera dan mengurangkan harga yang dilaporkan telah melonjak kepada sekitar 566 peratus berbanding bagi tempoh bukan perayaan di laluan yang sama.

“Ramai rakyat Sabah sama ada belajar atau bekerja di Semenanjung dan kebanyakan mereka mahu pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Namun, dengan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi, ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana mereka tidak mampu.

“Ia membebankan rakyat, oleh itu, kita dalam Kabinet negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan harga tiket penerbangan ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau lebih mahal berbanding beberapa destinasi antarabangsa dari Kuala Lumpur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|