Cukup-cukuplah MAS dan AirAsia hisap darah rakyat – Bung Moktar

Cukup-cukuplah MAS dan AirAsia hisap darah rakyat – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan dalam negara dilihat seperti menghisap darah penumpang berikutan harga tiket penerbangan yang begitu tinggi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ramai masyarakat setempat mengadu dengan situasi harga tiket melambung naik.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri meminta Kementerian Pengangkutan supaya campur tangan dan menangani isu tiket penerbangan itu dengan segera.

“Masyarakat dari sabah mengadu dan mengeluh dengan fenomena sebegini, MAS dan AirAsia dilihat seakan-akan menghisap darah penumpang.

“Bayangkan tiket ekonomi sahaja untuk perjalanan sehala mencecah RM2,800 dan ada juga harga sehinggah RM3,600 untuk satu perjalanan,” tulisnya di dalam Facebook rasminya malam tadi bagi mengulas isu harga tiket terutama menjelang perayaan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpendapat keadaan berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan meminta syarikat penerbangan tidak mengaut keuntungan semata-semata.

“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku, MAS serta AirAsia jangan sekali-kali mengaut keuntungan dengan menghisap darah penumpang.

“Dalam beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu yang di Kuala Lumpur akan balik ke Sabah, tetapi ramai yang telah membatalkan hasrat mereka kerana tidak berkemampuan,” katanya.

Bung Moktar turut menggesa supaya syarikat penerbangan mempermudahkan urusan daftar masuk penumpang dengan membantu mereka yang tidak tahu menggunakan secara layan diri.

“Seperkara lagi di mana AirAsia telah meletakkan syarat di mana semua penumpang wajib mendaftar masuk melalui mesin yang disediakan dan mana-mana penumpang yang daftar masuk melalui akan dikenakan bayaran RM100.

“AirAsia kena faham di Sabah masih ramai yang tidak memiliki telefon pintar dan pakcik makcik dari kampung masih tidak faham daftar masuk melalui mesin yang disediakan.

“Cukup-cukuplah pihak penerbangan MAS dan AirAsia menghisap darah rakyat,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|