Pembukaan pintu sempadan, cabaran baharu ESSCOM

Pembukaan pintu sempadan, cabaran baharu ESSCOM

Lahad Datu: Pembukaan semula pintu sempadan dan peralihan negara ke fasa Endemik bakal membawa cabaran baharu kepada pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pihaknya percaya pembukaan sempadan yang bermula hari ini akan meningkatkan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Pegawai dan anggota ESSCOM pada majlis Hari Ulang Tahun ESSCOM ke-9 yang diadakan di Dewan Serbaguna Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu.

Katanya, ia sudah pasti bakal merancakkan lagi industri pelancongan negara yang dikhuatiri membuka ruang kepada penculikan untuk wang tebusan (KFR) untuk bergiat aktif semula.

“Selain itu, kita juga mengambil perhatian terhadap pilihanraya umum Filipina pada Mei tahun ini yang akan menyebabkan banyak pergerakan keluar masuk membabitkan warganya di Sabah.

“Perkembangan itu akan diambil perhatian serius memandangkan terdapat kemungkinan adanya anasir berkepentingan akan turut serta menyertai pergerakan berkenaan,”’katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan sempena Hari Ulang Tahun ESSCOM ke-9, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, pihak ESSCOM bagaimanapun sentiasa bersiap sedia dan akan terus memperkasakan sempadan darat dan laut (ESSZONE) menerusi pelbagai operasi terancang.

Katanya, seperti sedia maklum, ESSCOM dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasi pengoperasian dan pengawalan kawasan keselamatan merangkumi 10 daerah pantai timur dari Kudat hingga ke Tawa.

“Antara tindakan ESSCOM adalah menerusi Op Cegah Pati (OCP) perairan dan daratan yang akan terus diperkasakan untuk mengawal pergerakan keluar masuk sempadan negara.

“Ia juga bagi mengekang pergerakan kumpulan penculikan, Abu Sayyaf dan aktiviti-aktiviti rentas jenayah sempadan di Pantai Timur Sabah.

“Selain itu, ESSCOM juga akan turut memperkasakan Op Gasak Laut dan Darat yang direncanakan secara berjadual serta terancang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya.

Hamzah berkata, kawalan keselamatan di daratan melalui ‘Road Check Point’ (RCP) Sapi Nangoh serta Kalabakan juga akan terus diperkasakan dan diletakkan dibawah Op Taring Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

Sementara itu, Hamzah berkata, sepanjang perlaksanaan semua operasi berkenaan tahun lalu, pihaknya berjaya merampas 393 bot dan menahan 154 individu atas pelbagai kesalahan.

Selain itu katanya, seramai 1,407 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 119 bot juga berjaya diusir keluar.

“Sepanjang tahun lalu, ESSCOM turut berjaya merampas pelbagai barangan membabitkan nilai keseluruhan RM5.950 juta.

“Antara kejayaan rampasan adalah membabitkan kes dadah iaitu sebanyak RM3.339 juta dan diikuti rokok serta barang kawalan bernilai RM1.378 juta.

“Manakala selebihnya yang bernilai RM1.232 juta pula adalah nilai rampasan membabitkan barangan dibawa PATI,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|