Suami maut, isteri cedera kereta terbabas

Suami maut, isteri cedera kereta terbabas

Tuaran: Seorang pemandu lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri dalam kejadian di kilometer 10.7, Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli-Ranau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pasangan berkenaan yang menaiki Proton Iswara dikatakan dalam perjalanan dari arah Ranau menuju ke Tamparuli.

Kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar batu yang berada di bahu jalan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, akibat hilang kawalan atas pemanduan berusia 31 tahun terbabit, kenderaan mangsa yang terbabas terus melanggar batu besar yang berada di bahu jalan.

“Pemandu kenderaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala penumpang kenderaan iaitu isteri mangsa yang berusia 28 tahun turut cedera dan kini dirawat di Hospital Tuaran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi memohon saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|