Pembantu kedai terima 5 jahitan di tangan selepas disamun

Pembantu kedai terima 5 jahitan di tangan selepas disamun

Tawau: Seorang pembantu kedai terpaksa menerima lima jahitan di pergelangan tangan kirinya selepas disamun seorang lelaki menggunakan pisau pemotong kertas di sebuah premis di Bandar Fajar, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa wanita berusia 33 tahun sedang bekerja di dalam premis berkenaan seorang diri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika mangsa berada di dalam premis dan seorang lelaki tidak dikenali anggaran usia 20 tahun yang memakai topi dan penutup muka (mask) berpura-pura ingin membeli barang di premis berkenaan.

Katanya, suspek kemudian menuju ke kaunter di tempat mangsa berada seolah-olah ingin membayar barang yang diambil.

“Bagaimanapun suspek bertindak meragut gelang tangan yang berada dipergelangan tangan kiri mangsa sebelum melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di pergelangan tangan kiri dan telah mendapat rawatan di hospital dengan lima jahitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, ketika kejadian didapati suspek bersenjata pisau pemotong kertas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|