Pemantapan peranan SAFA untuk memajukan sukan bola sepak di Sabah

Pemantapan peranan SAFA untuk memajukan sukan bola sepak di Sabah

Kota Kinabalu: Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah (PJS) menggalakkan lebih banyak kelab bola sepak di seluruh negeri ini supaya didaftarkan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Ia adalah antara usaha pembangunan sukan bola sepak di Sabah dan sekaligus memantapkan peranan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Sempini menerima cenderakenangan daripada Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar.

Pesuruhjaya Sukan Sabah, Sempini Langiton berkata, menerusi pembabitan lebih banyak kelab bola sepak, ia akan menjadi ahli gabungan kepada persatuan bola sepak di setiap daerah.

Katanya, ia akan menambahbaik pengurusan badan sukan, meluaskan pencarian bakat baru dalam kalangan pemain, jurulatih dan pegawai sukan di peringkat daerah seterusnya peringkat negeri.

“PJS amat menggalakkan SAFA untuk mengukuhkan lagi pentadbiran badan sukan berkenaan bermula di peringkat kelab.

“Setakat ini, pejabat PJS hanya merekodkan sebanyak 23 persatuan bola sepak peringkat daerah yang sah berdaftar dan aktif daripada 27 daerah di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Pemantapan Ahli Gabungan SAFA yang diadakan di ibu negeri, hari ini.

Sempini berkata, antara objektif kursus pemantapan ini adalah bagi memberi penerangan kepada semua persatuan bola sepak daerah untuk lebih memahami Akta 576.

Selain itu katanya, ia juga bagi memberi penerangan mengenai perlembagaan dan pindaan perlembagaan supaya badan sukan mematuhi perlembagaan masing-masing ke arah urus tadbir yang lebih teratur.

“Kursus yang diadakan itu juga turut memberi taklimat berkaitan tata cara penghantaran Maklumat Yang Kena Beri (MYKB).

“Badan sukan hendaklah mengemukakan MYKB pada setiap tahun kepada PJS seperti yang ditetapkan dalam Akta 576 dan perlembagaan badan sukan masing-masing.

“Tujuannya bagi memastikan semua badan sukan di semua peringkat aktif memainkan peranan masing-masing untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini dan seterusnya menyumbang kepada lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, sesebuah badan sukan perlu ditadbir dengan sebaiknya, profesional dan penuh intergriti dalam usaha melahirkan atlet atau pegawai sukan bertaraf dunia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|