Kota Kinabalu: Seorang kontraktor maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lintas, berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Iramanis, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, seorang lagi pemandu turut dilaporkan parah manakala tiga lagi membabitkan kemalangan kenderaan Toyota Hilux, Toyota Aristo dan BMW.

Pemandu Toyota Hilux, Wilson Kong, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Aristo berusia 30 tahun yang parah serta seorang penumpangnya, 23 tahun masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).
Dua lagi mangsa yang cedera adalah pemandu dan penumpang BMW berusia 26 dan 25 Tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati kenderaan BMW dan Toyota Aristo bergerak dari arah Inanam menuju ke rumah masing-masing di Likas dan Penampang melalui Jalan Lintas.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Hilux dilaporkan keluar dari simpang laluan bertentangan secara mengejut menyebabkan Toyota Aristo tidak sempat mengelak terbabas ke bahu kiri jalan.

“Manakala BMW yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak dan terus merempuh pacuan empat roda berkenaan sehingga berpusing ke lorong kanan jalan.
“Akibat kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan tercampak ke parit kecil di pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, selepas kemalangan itu, Toyota Aristo terbakar dan kejadian disedari pemandu BMW yang bertindak segera menarik keluar mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Pemandu BMW turut memadam api dengan dibantu seorang pekerja stesen minyak yang hadir ke lokasi kemalangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
“Manakala pemandu dan penumpang kedua-dua kereta yang cedera dihantar ke HQE II menaiki ambulans yang tiba di lokasi untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut berkaitan kemalangan terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kemalangan.
-Deasoka