Tuaran: Seorang lelaki rentung selepas kereta Perodua Bezza dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Kampung Tambalugu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Mohd Fairuz Jasni, 38, ditemui rentung selepas keretanya dipercayai bertembung dengan sebuah Perodua Myvi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.48 petang.
Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai bertembung dengan Perodua Bezza hingga menyebabkan kereta Perodua Bezza terbakar sepenuhnya.
“Terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan rentung di dalam kereta Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sebaik api berjaya dipadamkan, mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba pada 7.21 malam ini.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dua mangsa di kereta Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.25 malam,” katanya.
-Deasoka