Kerajaan negeri stabil, fokus halatuju untuk rakyat – Fairuz Renddan

Kerajaan negeri stabil, fokus halatuju untuk rakyat – Fairuz Renddan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kekal stabil dan terus fokus melaksanakan halatuju pembangunan negeri.

Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, berkata dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan sekarang mulai tidak menentu adalah fitnah.

“Janganlah baling batu sembunyi tangan, suka-suka mulakan fitnah, memburukkan, membusukkan dan bising-bising tentang kestabilan negeri, jika sebenarnya niat dan motif dendam kesumat itu tidak berhasil.

“Jangan gugat kestabilan dan keutuhan politik dalam negeri kita dengan kenyataan-kenyataan yang menuduh dan memburukkan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu berkata Kerajaan Negeri Sabah tidak tergugat seperti mana yang dikatakan oleh pihak pembangkang.

“Kita tidak terjejas dan tergugat, kita tiada niat dan tidak terlintas untuk menjahanamkan segala usaha pembangunan dan kemajuan untuk Sabah dan rakyat.

“Sudah-sudahlah itu, jika tidak puas hati, tidak dapat apa yang dirancang dan dihajati, jangan mula pusing cerita.

“Itu hasad dengki, itu dendam dan itu masalah hati,” katanya.

Sebelum ini, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Kerajaan Negeri Sabah tergugat dan terjejas dengan tindakan pemimpin GRS yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Fairuz berkata, kerajaan negeri komited terus bekerja untuk rakyat, membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Kita tidak fikir dan tidak terlintas untuk bawa kepentingan peribadi, hingga menggugat keutuhan serta kestabilan Sabah.

“Kepada beliau, cukuplah tu, rehatlah, mari kita semua sama-sama kerja untuk Sabah, untuk rakyat, untuk negeri.

“Tidak perlu bergaduh, tidak perlu bersengketa, tidak perlu bermadah jika hanya bertujuan untuk buat rakyat kita kusut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|