Graduan dinasihatkan amalkan nilai murni dalam kehidupan harian

Graduan dinasihatkan amalkan nilai murni dalam kehidupan harian

Kota Kinabalu: Graduan dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni seperti membudayakan sikap berintegriti, kejujuran dan hormat menghormati dalam kehidupan harian mereka.

Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata, amalan itu kita perlu sentiasa dipraktikkan tanpa mengira latar belakang budaya, agama dan bangsa.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terkenal dengan nilai hormat menghormati di mana rakyat hidup harmoni walaupun terdiri daripada latar belakang yang pelbagai.

“Sabah, misalnya, perlu dijadikan contoh kerana rakyat majmuk di wilayah ini hidup aman harmoni.

“Budaya seupama inilah yang perlu kita kekalkan demi perpaduan yang utuh dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24, di Dewan Canselor, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan pesanan kepada graduan agar tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah.

“Saya ingin berpesan kepada para graduan sekalian untuk menolak perbuatan rasuah terutamanya ketika memasuki alam pekerjaan kelak. Gejala rasuah perlu dibanteras habis-habisan.

“Kita sepatutnya mencontohi negara jiran, Singapura yang tidak bertoleransi terhadap perbuatan rasuah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Majlis Konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan seramai 4,298 graduan diraikan di atas pentas Dewan Canselor UMS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|