Pemandu dan penumpang terselamat, pokok tumbang hempap kenderaan

Pemandu dan penumpang terselamat, pokok tumbang hempap kenderaan

Sandakan: Pemandu dan penumpang berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di jalan berhampiran Hotel Sabah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, tiga mangsa lelaki termasuk pemandu bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengalihkan pokok yang tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan. Pix Ihsan Bomba 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.12 petang.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

Keadaan kenderaan yang dihempap pokok tumbang. Pix Ihsan Bomba 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kejadian didapati sebuah kereta jenis Proton Waja dihempap pokok tumbang.

“Pasukan bomba terus bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan jalan berkenaan juga terus dibersihkan bagi memastikan laluan boleh dilalui semula oleh kenderaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.41 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|