PBS tetap setia bersama GRS – Joniston

PBS tetap setia bersama GRS – Joniston

Keningau: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi komitmennya untuk terus setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun menerima lamaran untuk bekerjasama dengan parti lain.

Perkara itu ditekankan Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau, di sini, hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama parti yang melamar PBS itu, Joniston dipercayai merujuk kepada Parti Warisan (WARISAN) yang mengulangi hasrat untuk bekerjasama dengan PBS seperti dinyatakan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu semalam.

Joniston berkata, kesetiaan PBS adalah kepada GRS dan menyifatkannya sebagai pilihan yang terbaik yang harus diberi sokongan kuat.

“PBS tetap setia dengan GRS. Kamu tahulah itu kan sebab ada saja lamaran,” katanya pada Program Jelajah GRS Parlimen Keningau, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata PBS kekal menyokong GRS kerana ia selari dengan perjuangan parti berkenaan sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.

Katanya, kehadiran GRS memberi wadah baharu kepada parti politik tempatan di Sabah untuk bekerjasama dan bergabung sebagai sebuah pasukan yang besar.

“Apabila GRS muncul, ada wadah lebih besar, rumah lebih besar. Semua parti komponen memiliki kekuatan sendiri dan apabila digabungkan semua parti komponen dan parti yang mesra dengannya, bayangkan kekuatan kita,” katanya.

Beliau berkata, PBS juga akan memastikan GRS akan menang semua kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, PRU yang dijangka tidak lama lagi adalah ujian pertama bagi GRS selepas didaftar sebagai gabungan politik rasmi pada Mac lalu.

“Kita akan pastikan PRU akan datang kita menang. Ini ujian pertama GRS, kita akan pastikan GRS yang terbaik.

“Apabila musuh kita lihat kita satu hati mereka un takut. Begitu juga di Keningau, kita tunjuk solidariti kita. Saya yakin PRU nanti kita akan capai kemenangan besar,” katanya.

Dalam sidang medianya semalam, Mohd Shafie mengulangi kesediaan WARISAN bekerjasama dengan PBS pada PRU-15, khususnya di kawasan Kadazandusun Murut (KDM).

Beliau pernah menyatakan perkara sama sebelum ini namun ditolak Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang menyatakan PBS tetap bersama dengan GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|