Op Tapis: 11 termasuk seorang wanita ditahan

Op Tapis: 11 termasuk seorang wanita ditahan

Keningau: Seramai 11 individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dikesan terbabit jenayah dadah dalam operasi Op Tapis yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sini, hari ini.

Dalam operasi selama 14 hari bermula 14 Ogos lalu, semua individu berusia 19 hingga 50 tahun terbabit ditahan di sekitar kawasan Kampung (Kg) Bakiau, Kg Lingkudau, Kg Patikang Laut, Kg Sungai Pampang dan Pekan Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, semua yang ditahan membabitkan warga asing dan tempatan.

Katanya, dua ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala selebihnya mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, semua tangkapan positif dadah dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

“Dalam operasi selama dua minggu itu, polis turut berjaya merampas 12.69 gram dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, operasi berjaya dijalankan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, Nor Rafidah berkata, Polis Keningau akan meneruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa secara agresif.

Katanya, ia bagi mengekang kegiatan jenayah dan juga kesalahan yang melibatkan dadah untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di daerah Keningau.

“Kita juga memohon kepada masyarakat serta orang awam supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|