Kawal selia bekalan elektrik, gas diserah kepada Sabah tahun depan – Hajiji

Kawal selia bekalan elektrik, gas diserah kepada Sabah tahun depan – Hajiji

Keningau: Suruhanjaya Tenaga Sabah yang perlu diwujudkan untuk mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan gas daripada kerajaan Pusat kepada Sabah dijangka direalisasikan sebelum akhir tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan persekutuan sudah bersetuju dan komited untuk menyerahkan kuasa berkenaan kepada kerajaan negeri melalui perbincangan di antara kedua pihak sebelum ini.

“InsyaAllah kita telah bincang dengan kerajaan persekutuan, baru-baru ini saya sendiri hadir dan saya minta Sabah ingin tubuhkan Suruhanjaya Tenaga sendiri.

“Kerajaan persekutuan sudah menyatakan komitmen bahawa ia bersetuju sebelum akhir tahun depan untuk menyerahkan kuasa tenaga kepada Sabah,” katanya pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan persekutuan bersetuju secara prinsip untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan gas melalui penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Jelasnya suruhanjaya itu adalah milik Sabah sendiri, sekali gus menamatkan kawalan persekutuan dalam urusan berkaitan bekalan elektrik dan gas di negeri ini.

Beliau berkata, pelaksanaan proses penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dilaksanakan terlebih dahulu sebelum negeri mengambil alih kepentingan majoriti dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Ini mengambil kira kedudukan semasa prestasi SESB dan proses perundangan serta tadbir urus yang melibatkan status SESB sebagai sebuah entiti korporat, selain faktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai syarikat senarai awam yang menjadi pemegang saham majoriti dalam SESB.

“Ini merupakan antara syor kerajaan negeri yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Hala Tuju Penyerahan Kuasa Tenaga Elektrik di antara kerajaan negeri dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta agensi persekutuan berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Suruhanjaya Tenaga pada 25 Ogos lalu,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sebagai tindakan susulan, KeTSA akan membuat penyelarasan segera untuk mengangkat perakuan itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan.

“Kita berharap kerajaan persekutuan dapat membuat keputusan pada kadar segera.

“Pada masa yang sama, agensi-agensi berkaitan dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aepek teknikal dan perundangan kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya.

Beliau berkata, sebagai persiapan untuk penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah, kerajaan negeri telah menubuhkan Unit Tenaga Negeri Sabah (UTNS) di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Katanya, unit berkenaan sudah mula beroperasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|