Pemandu cedera, kereta terbabas masuk parit

Pemandu cedera, kereta terbabas masuk parit

Ranau: Seorang pemandu terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik di dalam parit di hadapan Balai Polis Ranau, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 44 tahun terbabit yang memandu Honda City, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbalik di dalam parit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 12.49 tengah malam.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Pemandu kenderaan yang mengalami kecederaan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Ranau bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.12 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|