Jelajah Gelombang Biru tanda solidariti BN Sabah – Bung Moktar

Jelajah Gelombang Biru tanda solidariti BN Sabah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada program Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN setakat ini menunjukkan momentum serta semangat yang tinggi bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setakat ini tiga lokasi sudah dijelajah bermula di Zon 6 yang merangkumi Parlimen Tawau, Semporna dan Kalabakan pada 4 September lalu, disusuli Zon 1 Kota Belud dan Tuaran pada 10 September dan Zon 4 bagi kawasan pedalaman di Pensiangan, semalam.

Bung Moktar Radin

Selepas ini program yang sama akan diadakan di Zon 5 yang melibatkan Kinabatangan, Beluran, Libaran dan Sandakan pada 1-2 Oktober depan, diikuti zon lain iaitu Kudat dan Kota Marudu (Zon 1); Ranau, Keningau,Tenom, dan Pensiangan (Zon 4); Papar, Beaufort, Sipitang dan Kimanis (Zon 3) serta Zon Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang (Zon 2).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kehadiran ramai penyokong BN pada program itu setakat ini menunjukkan sambutan luar biasa ahli UMNO dan BN dan membuktikan tahap soladariti BN Sabah yang begitu tinggi untuk menghadapi PRU-15.

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan mewakili Bung Moktar menyerahkan bendera BN kepada Ketua PDM BN pada pelancaran Jentera BN di Padang Bandaran Tawau.

Katanya, Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN yang diadakan adalah isyarat bahawa gendang perang PRU-15 sudah dipalu dan semua ahli parti perlu bersedia untuk ke arah itu.

Bagaimanapun Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, kehadiran ribuan penyokong pada Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN bukan titik akhir yang menunjukkan kekuatan sebenar BN sebelum memasuki gelanggang pilihan raya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bersama ribuan hadirin pada elancaran jentera BN Pensiangan di Nabawan

Beliau menegaskan PRU-15 perlu menjadi medan untuk menunjukkan bahawa terdapat kesepaduan parti yang mempunyai mekanisme jentera pada pelbagai lapisan akar umbi malah menolak mereka yang pernah memperkecilkan kekuatan UMNO dan BN.

“Semangat Gelombang Biru yang menyaksikan UMNO dan BN bangkit untuk mengambil alih pemerintahan negara perlu diteruskan sehingga PRU-15 diadakan dan perlu membuahkan hasil lumayan iaitu kemenangan besar BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar bersama kepimpinan BN Sabah dan BN Kota Belud pada jelajah Gelombong Biru dan Pelancaran Jentera BN di Dewan Masyarakat Tun Said Kota Belud.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Gelombang Biru BN perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan kesemua itu dilakukan dengan tekad yang kuat serta semangat perjuangan yang luhur.

“Setiap lapisan Pusat Daerah Mengundi (PDM), cawangan dan bahagian perlu membina asas kekuatan ini. Atas prinsip ini jika ahli UMNO bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, BN akan kembali teguh dan ampuh.

Ribuan penyokong hadir pada program jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN di Padang Bandaran Tawau.

“Kita akan bekerja kuat bagi mencapai KPI yang diletakkan oleh parti dan hasrat ini dapat dicapai jika kita mendapat sokongan padu semua pemimpin UMNO dan BN sepanjang kempen pilihan raya kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|