Pemancing dikhuatiri lemas

Pemancing dikhuatiri lemas

Kota Kinabalu: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang dilaut ketika keluar memancing di kawasan perairan Pulau Tiga dan Pulau Mengalum, di sini, sejak Isnin lalu.

Mangsa, Lauren Alipiin, 33, warganegara Filipina yang keluar ke laut menggunakan bot pam dengan nombor pendaftaran JN9099/2/R itu disedari hilang selepas gagal dihubungi isterinya.

Pasukan operasi melakukan pencarian di sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebaik laporan diterima, Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak aset masing-masing ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal.

Katanya, pasukan operasi setakat ini hanya berjaya menemui satu tong ikan yang terapung di posisi kira-kira 12 batu nautika utara Pulau Tiga.

Beberapa pemancing yang ditemui turut dinasihatkan supaya memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

“Tong ikan berkenaan disahkan milik pemancing terbabit oleh isteri mangsa dan operasi CARILAMAT masih diteruskan lagi pada pagi ini.

“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini diminta supaya menyalurkan maklumat terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan segera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 088-387774.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya turut mengerahkan sepasukan tiga anggota dan pegawai ke lokasi berhampiran untuk menjalankan operasi mencari mangsa.

Katanya, setakat ini tiada sebarang penemuan dan maklumat akan dikemaskini dari masa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|