Kota Kinabalu: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memohon tambahan subsidi sebanyak RM200 juta bagi menampung kenaikan harga baja yang diberikan kepada pesawah di seluruh negara pada tahun ini.
Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob, berkata tanpa bantuan subsidi tambahan itu, NAFAS akan mengalami kerugian berikutan kos pengeluaran baja yang meningkat ketika ini.
“Harga baja ketika ini melambung, sebab itu kita minta bantuan kerajaan untuk menampung kos baja kepada pesawah seluruh negara. Sebelum ini kerajaan memberikan RM600 juta tetapi kalau tidak dibantu, dengan harga baharu sekarang NAFAS akan rugi RM200 juta.
“Kita juga sudah maklumkan perkara ini kepada (PM) Perdana Menteri dan dia sudah setuju jadi sekarang kita berunding dengan Kementerian Kewangan supaya dipercepat. Kita minta supaya kerajaan tambah subsidi sebanyak RM200 juta.
“Begitu juga racun kita minta RM60 juta untuk tampung kenaikan harga racun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Wakalah Zakat dan Geran Pengurusan Wilayah Sabah dan Labuan, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah.
Katanya, peningkatan harga barangan asas pertanian seperti baja, racun, benih dan makanan ternakan menjadi cabaran besar dalam usaha memulihkan ekonomi yang terpaksa dihadapi golongan peladang.
Beliau berkata, usaha menangani situasi itu juga penting bagi memastikan pengeluaran bahan makanan tidak terjejas, selain untuk mengawal kenaikan harga bahan makanan disebabkan kos pengeluaran yang meningkat.
“Semua ini perlu kita tangani dalam memastikan bekalan makan negara mencukupi dan mampu dibeli. Ini tugas dan tanggung bersama, kita sudah nampak tindakan kerajaan dalam menangani isu ini dan kita akan terus membantu usaha kerajaan dalam mengatasinya.
“Kita juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya input asas pertanian, khususnya baja asas sebagai barang kawalan ini penting dalam memastikan petani berupaya mengusaha aktiviti mereka dalam memastikan bekalan makanan negara tidak tergendala,” katanya.
Dalam hal berkaitan, beliau berkata NAFAS juga bercadang untuk membuka kilang baja bagi memenuhi keperluan sektor perladangan dengan kerjasama PPN di Sabah dan kini sedang dalam peringkat mencari tapak yang sesuai.
Terdahulu pada majlis berkenaan, Zamri menyampaikan Sumbangan Wakalah Zakat Dan Geran Pengurusan NAFAS kepada PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berjumlah RM 559,000.
Daripada jumlah itu, katanya PPN Sabah menerima RM120,000, masing-masing RM70,000 bagi Sumbangan Wakalah Zakat NAFAS dan RM50,000bagi Geran Pengurusan Mesyuarat Agung PPN.
“Sebanyak 26 PPK di Sabah tiga 3 PPK di Wilayah Persekutuan Labuan pula masing-masing menerima RM11,000 iaitu RM8,000 sebagai Sumbangan Wakalah Zakat NAFAS dan RM3,000 bagi Geran Pengurusan Mesyuant Agung Tahunan PPK.
“Ini adalah sebahagian daripada obligasi sosial NAFAS kepada PPN, PPK dan ahli-ahli NAFAS serta kita berharap perkara ini akan dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa hadapan. Dan kita yakinnya boleh,” katanya.
Beliau berkata, NAFAS juga akan terus memperkasa program yang membabitkan semua peringkat Pertubuhan Peladang dan membuktikan NAFAS sebagai induk gerakan Pertubuhan Peladang yang akan membina masyarakat tani yang berdikari, makmur dan bersatu padu.
-Deasoka