Pelantikan TYT secara ‘convention’ dalam kalangan orang Islam

Pelantikan TYT secara ‘convention’ dalam kalangan orang Islam

Kota Kinabalu: Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah secara ‘convention’ dipilih dalam kalangan orang Islam bagi mewakili Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri ini.

Presiden Peguam Syarie Sabah, Abdul Razak Jamil, berkata pelantikan TYT juga adalah bidang kuasa YDPA setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah.

“TYT secara ‘convention’ nya akan menjalankan tugas dan mewakili YDPA dalam isu-isu pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri ini.

“Oleh yang demikian, TYT yang dilantik sewajarnya beragama Islam untuk menjalankan tugas-tugas itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Suman Yasambun, mencadangkan agar Huguon Siou atau pemimpin agung masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dilantik sebagai TYT.

Cadangan itu katanya tidak bercanggah dengan perlembagaan, selain mengambil kira kedudukan Pairin sebagai pemimpin yang dikenali dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pelantikan TYT juga mengambil kira agama rasmi Sabah iaitu Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 5 (A) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Walaupun dalam Perlembagaan Negeri Sabah tiada menyatakan secara jelas agama TYT, namun memandangkan agama rasmi bagi Negeri Sabah adalah Islam seperti yang termaktub dalam perkara 5 (A) Perlembagaan Negeri Sabah, maka secara ‘convention’ nya dan sewajarnya ketua utama negeri Sabah adalah di kalangan orang Islam.

“Amalan secara ‘convention’ ini sudah berlaku sejak merdeka lagi dan tidak pernah berlaku apa-apa keadaan yang mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Katanya, Perlembagaan Negeri adalah sumber perundangan tertinggi yang perlu dipatuhi oleh badan perundangan negeri bagi menjamin perlindungan kepada setiap rakyat terhadap hak dan keistimewaan mereka.

Sumber perundangan itu juga katanya menjadi asas kepada perpaduan rakyat di Sabah.

“Justeru, kepelbagaian suku kaum dan agama di negeri ini bukanlah halangan kepada negeri ini ditadbir dengan aman dan damai. Malah kepelbagaian ini adalah satu keunikan yang patut kita raikan dan menjadi kebanggaan rakyat kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|