Shafie panik, salahkan PH atas kegagalan sendiri

Shafie panik, salahkan PH atas kegagalan sendiri

Kota Kinabalu: Tindakan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menuding jari kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai mengambil jalan keluar yang mudah.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, beliau juga meletakkan kegagalannya sendiri dalam mentadbir negeri Sabah di bahu pimpinan PH.

Menurutnya, sepanjang pentadbiran Warisan juga, parti berkenaan telah memonopoli jawatan lantikan politik, sama ada di peringkat negeri, daerah mahupun kampung-kampung.

“Namun kerana sikap tamak dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab akhirnya rakyat menghukum kerajaan Warisan.

“Rakyat Sabah tidak bodoh untuk menilai kegagalan Shafie sepanjang mentadbir kerajaan Sabah dan saya yakin rakyat akan mengambil keputusan sama dengan menolak Warisan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Razeef berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Shafie yang menuding jari pada pimpinan PH atas beberapa kegagalan pentadbiran kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Shafie menyatakan bahawa beliau telah meminta pimpinan Keadilan Sabah (Datuk Christina Liew) dan DAP Sabah (Phoong Jin Zhe dan Chan Foong Hin) supaya meminta Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk menyelesaikan beberapa isu namun dikatakan tidak diendahkan.

“Adakah Shafie lupa bahawa beliau merupakan Ketua Menteri yang mengepalai kerajaan negeri Sabah? Beliau berada dalam jawatankuasa khas Sabah-Sarawak yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Beliau juga menduduki Majlis Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri, Majlis Kewangan Negara dan mengiringi Gabenor negeri dalam Majlis Raja-Raja. Malah, beliau juga seorang Ahli Parlimen.

“Ini merupakan jalan rasmi bagi beliau untuk membawa isu Sabah dan memperjuangan hak Sabah. Namun apa yang beliau lakukan?,” kata Razef.

Tambah beliau, tindakan Shafie yang gigih menuding jari kepada Anwar yang tidak mempunyai jawatan menteri pada ketika itu, turut menimbulkan persoalan.

“Namun pelik melalui kenyataan Shafie, beliau tidak menuding jari pada Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu? Beliau sebaliknya gigih menuding jari pada Anwar yang hanya merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dan tidak mempunyai sebarang jawatan Menteri.

“Shafie masih tidak boleh ‘move on’ dengan kegagalan beliau mentadbir Sabah yang menyaksikan penolakan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang lalu.

“Shafie juga cuba menunjukkan bahawa parti itu bukan sekadar parti Sabah tetapi parti nasional apabila cuba meluaskan sayap parti itu ke Semenanjung, namun berdepan penolakan apabila kesemua enam calon Warisan hilang deposit pada PRN Johor yang lalu.

“Beliau dilihat mula melupakan sayap parti itu di Semenanjung dan kembali fokus di Sabah dengan membawa sentimen yang sama namun masih jelas mendapat penolakan rakyat atas kegagalan beliau,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Shafie juga antara punca mulanya peningkatan wabak Covid-19 selepas mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah setelah kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Ketika negara dan rakyat sedang bertarung mengekang penularan wabak COVID-19, beliau tidak mengendahkan situasi berkenaan sebaliknya mengambil keputusan membubarkan DUN bagi menyelamatkan kedudukan beliau.

“Hasilnya rakyat menghukum tindakan beliau dengan menolak kerajaan Warisan dari terus mentadbir Sabah.

“Nasihat saya, beliau perlu cermin diri dan melihat punca kegagalan kerajaan Warisan yang jelas dari kelemahan beliau sendiri daripada sibuk menuding jari pada pihak lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|